Pages

Friday, August 19, 2011

"Saya Tahu Saya Tak Cantik"


"Phewittt! Yo! Aweks cun lalu lah. Wahhh!! Comelnya dia. Perghh!! Dia jeling! Assalamualaikum boleh abang nak kenal?" usik sekumpulan budak nakal yang tak pergi solat Jumaat, tapi bangga kemain dekat kedai makan sambil 'phewit phewit' awek yang lalu lalang sambil ketawa berdekah-dekah.
"Ha! Artis Korea ni cute sangat-sangat! Very love her! Nak jadi macam dialah. Kenapa dia lawa aku tak lawa? Semua baju dia pakai semua nampak cantik. Ishhhh... jelesnya aku!", bentak seorang gadis sambil menatap sebuah majalah hiburan yang terkenal.
KECANTIKAN : DI MANA NILAINYA?
Manusia sememangnya hidupan yang pelik, istilah kecantikan didefinasikan kepada pelbagai. Kalau di Iran, wanitanya begitu obses dengan hidung yang dibedah, atau di Mauritania di mana wanita gemuk dianggap seksi dan mengghairahkan. Bagaimana dengan masyarakat kita sendiri pula?
Tidak perlu mempunyai hidung yang mancung seperti paruh seludang, atau wajah yang sesempurna Aishwarya Rai. Cukup dengan berpakaian tapi seolah-olah "bertelanjang" dan mengenakan kain ela yang pelbagai untuk menutupi kepala, itu cantik namanya.
Pada saya kecantikan ialah bagaimana mata mereka yang memandang itu mentafsirnya. Lebih tepat, pandangan orang lain terhadap fizikal kita. Betul! Dan saya pernah membuat eksperimen sendiri dengan mengajak adik-adik lelaki saya untuk memilih artis wanita yang mereka rasakan tercantik.
Minta maaf bukan hendak memperlekehkan kecantikan plastik wanita, itu realiti yang telah lama bertapak dalam mentaliti masyarakat kita. Tipikal? Tiada siapa yang boleh menafikannya.
Hasilnya seperti diduga, setiap daripada mereka memilih artis wanita yang berlainan. Bila saya tanya kenapa pilihan masing-masing yang terbaik, semua sibuk memberikan seribu satu alasan yang tidak boleh diterima oleh akal saya.
Lihat! Bukankah itu bukti yang nyata bahawa kecantikan itu terlalu besar skopnya untuk diperjelaskan kepada umum? Apa yang cantik di mata saya atau anda, tidak semestinya akan cantik pada pandangan orang lain juga.
Persoalannya, adakah apa yang kita ada sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim dan pilih bulu dengan memberi sesetengah daripada kita wajah yang cantik manakala setengah lagi fizikal yang tidak sempurna?
Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu mengapa ada sesetengah daripada kita masih meratapi kekurangan yang ada pada diri masing-masing?
SAYA TAHU SAYA TAK CANTIK
Saya tahu saya tidak cantik.. Tapi, walaupun saya tidak cantik, saya tetap ada kelebihan..
Kerana saya tidak cantik, saya tidak jadi mangsa gangguan lelaki-lelaki yang rosak akhlaknya.
Kerana saya tidak cantik, saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya.
Kerana saya tidak cantik, saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman lelaki.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada wanita-wanita lain.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana lelaki dan wanita.
Dan kerana saya tidak cantik, akhirnya saya menemui insan yang ikhlas mencintai saya seadanya.
Kerana saya tahu.. Saya tidak cantik pada pandangan manusia.. Maka saya akan berusaha agar kelihatan cantik pada ALLAH.. Kerana bukan kecantikan dunia yang saya kejar... Tapi KECANTIKAN di akhirat kelak..
ANGGUN DI MATA ALLAH : SEBUAH KECANTIKAN SEJATI
Kecantikan terdiri dari 2 jenis; kecantikan lahir dan kecantikan batin.
Kecantikan batin (inner beauty) adalah kecantikan yang dicari kerana essensinya, seperti kecantikan ilmu, akal fikiran, dan kesucian diri. Kecantikan batin inilah yang merupakan titik pandang Allah pada diri hamba-hamba-Nya.
Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa dan postur tubuh kalian. Akan tetapi, Allah melihat pada hati kalian." (HR. Muslim).
Sebenarnya kita semua adalah makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna dan cantik di muka bumi ini. Allah telah menentukan sesuatu sifat dalam diri kita adalah yang terbaik. Hanya mata kita sahaja yang diselaputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian.
Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? Bukankah periuk orang lain sentiasa putih daripada apa yang kita ada? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu jauh lebih baik daripada apa yang kita miliki.
Sedangkan nabi Muhammad S.A.W sendiri telah menasihatkan kita agar melihat orang yang kurang bernasib baik. Jangan melihat orang yang lebih bertuah kerana itu akan membuatkan kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar yang sempurna dalam kehidupan seharian. Sentiasa mahukan yang lebih bagus daripada orang lain.
Kita ada biduk, tetapi dalam masa yang sama berkehendakkan serempu pula. Tidak terkecuali dengan saya. Siapa yang tidak suka mendengar pujian melangit kerana cantik, bukan?
Ketika zaman bersekolah, semuanya kena bersaing atau sekurang-kurangnya sama dengan kawan-kawan. Pakai baju ketat, seluar sendat, dari tudung sehinggalah kepada kasut, kalau boleh semua mengikut peredaran fesyen. Pendek kata melaram berlebihan. Cuba bayangkan betapa banyak dosa yang terpaksa saya tanggung semata-mata untuk kelihatan trendy seperti itu? Syukurlah kesedaran datang sebelum lebih banyak dosa terkumpul.
Sekarang ini nak pergi mana pun, satu yang sentiasa perlu tanamkan dalam kepala adalah "bersederhana dalam berfesyen". Cukup dengan hanya menempel "wudhu'" di wajah, bertudung dan tidak memakai pakaian ketat yang menonjolkan bentuk badan.
Untuk itu, mari kita belajarlah untuk berkata Alhamdulillah dengan apa yang ada pada diri kita. Sedarlah, kecantikan bukan terletak pada secantik mana fizikal kita dilihat oleh mata orang lain, atau 'setrendy' mana pakaian yang telah membaluti tubuh masing-masing. Tetapi secantik mana kita di mata Allah.
- Artikel iluvislam.com

Friday, July 15, 2011

(^_^) mujahadah vs mujahidah (^_^)

Sanggup??Sanggupkah beristerikan mujahidah? Apatah lagi mujahidah purdah?
Mujahidah yang hidupnya untuk Islam
Mujahidah yang sering keluar berdakwah
Mujahidah yang berani menyata yang hak
Mujahidah yang tidak mahu televisyen dajjal ada di rumah
Mujahidah yang memecah tradisi dan adat Melayu yang mengarut
Mujahidah yang tidak makan yang syubhah
Mujahidah yang boikot barang Israel dan Amerika
Kecuali jika tiada alternatif seperti beberapa produk teknologi
Mujahidah yang akan guna duit banyak untuk produk HPA
Mujahidah sanggup lapar dari makan yang tak pasti
Mujahidah yang ingin didik anak dengan tangan sendiri
Mujahidah tidak mahu bergantung harap pada pembantu rumah
Mujahidah yang tidak mahu menggantung gambar di rumahnya
Mujahidah yang mesti ada perpustakaan kecil di rumahnya
Mujahidah yang cintakan buku dan ilmu
Mujahidah yang berjuang dalam penulisan
Mujahidah yang mengkritik pemerintah yang zalim
Mujahidah yang mencabar sistem kehakiman
Mujahidah yang merombak sistem pendidikan
Mujahidah yang suka berbekam ikut sunnah
Mujahidah yang tidak suka beli barang mengarut
Mujahidah yang gembira ditegur suami
Mujahidah yang pantang suaminya tidak taat ibu dan lebihkan dirinya
Mujahidah yang akan banyak habis kredit dan masa untuk adik-adik usrahnya
Mujahidah yang bersuara menentang kezaliman
Mujahidah yang rela zuhud untuk umat
Mujahidah yang suka bagi orang segala yang ia ada
Mujahidah yang suka guna duit untuk Islam
Mujahidah yang selalu pening sebab banyak fikir
Mujahidah yang sanggup tak makan jika ragu
Mujahidah yang pertahankan purdahnya
Mujahidah yang tidak dilihat orang lain kecuali suaminya dan keluarga
Mujahidah yang akan utamakan suaminya berbanding ibu bapanya
Mujahidah yang berhujah dengan ilmu
Mujahidah yang sanggup jadi pendakwah bebas ikut keperluan zaman
Mujahidah yang sanggup buka kelas agama di rumah
Mujahidah yang terpaksa susahkan suami untuk tugas dakwah
Menghantar dan mengambilnya, pagi, petang dan malam untuk berjuang
Mujahidah yang sanggup hantar anaknya berjihad
Mujahidah yang tak benarkan anaknya main game Yahudi
Mujahidah yang akan banyak cerita kisah seerah pada anaknya
Mujahidah yang akan tiupkan semangat jihad anak dari kecil
Mujahidah yang akan terapkan anak suka membaca dari bayi lagi
Mujahidah yang tak mahu bekerja makan gaji atau kerajaan
Mujahidah yang nak duduk rumah didik anak
Mujahidah yang akan buka perniagaannya sendiri dari rumah
Mujahidah yang takkan biarkan anak2nya sendirian
Mujahidah yang akan menjadi pendengar setia pada suami dan anak
Mujahidah yang akan mengenali siapa kawan kepada anak2nya
Mujahidah yang nak menghasilkan buku macam Maryam Jameelah
Mujahidah yang sanggup dipenjarakan seperti Zainab al-Ghazali
Mujahidah yang tambah bekal akhirat banyak2 sebab bimbang tak cukup
Mujahidah yang hanya keluar untuk keperluan hidup dan Islam
Mujahidah yang nak banyak anak untuk hantar pergi berjihad
Mencontohi al-Khansa’ adalah cita2 mujahidah
Mujahidah yang akan terangkan pada anaknya apa yang salah yang ia belajar di sekolah
Mujahidah yang nak masak untuk suami dan anak
Mujahidah yang tak suka makan di luar
Mujahidah yang nak suaminya solat di masjid atau berjemaah dengannya
Mujahidah yang redho anak2nya syahid di medan tempur
Mujahidah yang akan sentiasa tiupkan semangat suami untuk berjuang
Mujahidah yang takkan benarkan suaminya futur
Mujahidah yang pantang suaminya malas pergi usrah
Mujahidah yang degil nak ikut cara hidup Islam
Mujahidah yang sanggup masuk ISA untuk Islam
Mujahidah yang sanggup merantau demi menyebar Islam tercinta
Mujahidah yang sanggup buka purdah hanya untuk keperluan berdakwah Bukan untuk perkara kecil yang mengarut tanpa dalil
Mujahidah yang sanggup susahkan suami dan anak untukperjuangan
Mujahidah yang meletakkan Allah paling tinggi dalam hidupnya
Mujahidah yang rela mati di tali gantung untuk Islam
Mujahidah yang sanggup ke Palestin atas izin suami
Mujahidah yang sanggup merawat tentera Islam di medan jihad
Bahkan mahu menjadi seperti Nusaibah Yang turut berjihad dengan senjata
Mujahidah yang taat suami hanya bila ia taat Allah
Mujahidah yang hanya kasihkan suami jika ia kasihkan Allah
Mujahidah yang tegur suami cara baik bila ia salah
Mujahidah oh Mujahidah
Di manakah Mujahidmu?
Ampunkan aku ya Allah, wahai Tuhan yang Maha Pengampun
Wallahua’lam.




Friday, June 24, 2011

"Saidatina Khadijah: Contohilah Dia Wahai Wanita"



Sebab apa jadi sebegini? Semenjak hari-hari yang saya lalui minggu ini, saya terbaca banyak perkara dan belajar pelbagai perkara mengenai wanita.
Dan hari-hari yang saya lalui di tempat saya menyambung belajar ini, saya melihat pelbagai ragam dan jenis wanita.
Dan dengan itu juga, saya ingin berkongsi dengan kalian akan tajuk mengenai, 'Wanita'.
Dalam realiti dunia yang penuh dengan kemajuan hari ini, kita dapat lihat bahawa wanita-wanita juga seiring dengan kebangkitan kemajuan pada hari ini.
Akan tetapi, kita dapat lihat juga segelintir dalam kalangan wanita-wanita yang menjadikan diri mereka ini sebagai fitnah yang besar, terutamanya kepada agama mereka sendiri.
Rasulullah SAW bersabda; "Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita" -Hadis Riwayat Muslim
"Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita." - Hadis Riwayat Bukhari
Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan.
Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.
Ini sudah pasti apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan tersebut.
Dan pada hari ini juga, kita dapat lihat wanita-wanita Islam semakin ramai antara mereka yang terhakis akhlaknya seterusnya menghilangkan identiti Muslimah sebenar daripada diri mereka.
Dengan ini, saya ingin mengajak kita semua, tidak kira kaum lelaki dan kaum wanita untuk sama-sama menyelusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan sebagai tulang belakang pendokong seorang lelaki.
Siapakah wanita itu? Semestinya dialah Saidatina Khadijah RA. Isteri tercinta seorang lelaki, Nabi Muhammad SAW.
Mengapa saya ingin bawakan kepada wanita-wanita sekalian akan kisah wanita ini?
Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.
"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."
Begitulah Rasulullah saw berkata tentang keperibadian Khadijah, isterinya.
Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam
Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas.
Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya.
Tetapi pilihannya justeru, jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid RA.
Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah.
Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah.
Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam.
Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW. Adakah ramai wanita-wanita yang bergelar isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini?
Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya... Dan adakah wanita-wanita di luar sana, yang bakal bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?
Apabila ditanya tentang Siti Khadijah RA akan perpisahan Rasulullah SAW atas pemergiannya, Rasulullah SAW menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."
Buat wanita-wanita yang membaca dan berkongsi pandangan bersama, Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya?
Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh.
Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya.
Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?
Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, " Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab.
Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."
Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.

Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka.
Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.
Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan.
Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama.
Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT.
Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT.
Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya.
Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - An-Nahl: 97
Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua.
Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh.
Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT.
Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.
Wahai lelaki, wanita bagaimanakah yang kamu hajatkan sebagai pasangan hidup, tulang belakang (pendokong) hidupmu dan pembimbing anak-anakmu?
Wahai wanita, suami yang bagaimanakah peribadinya yang kamu inginkan sebagai ketua,pembimbing dirimu dan keluargamu?
Wahai ummah, wanita yang bagaimanakah kita lihat pada hari ini, yang bagaimana kita cari, dan yang bagaimanakah kita puja dan puji?
Moga-moga renungan ini sedikit sebanyak membuka mata buat kaum Hawa dan kaum Adam yang membacanya.
Agar sebagai persediaan buat hari-hari seterusnya.